BAM Enggan Dedahkan Identiti Atlet Gagal Doping

Kuala Lumpur – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang bermesyuarat hari ini tampil mengesahkan seorang atlet ‘terkemuka’ negara yang gagal dalam ujian doping oleh Agensi Antidoping Dunia (WADA) baru-baru ini adalah pemain di bawah naungan badan induk itu, lapor Sinar Harian.

Ini diumumkan Timbalan Presiden BAM Datuk Norza Zakaria selepas mengadakan mesyuarat tergempar di Hotel Grand Dorsert hari ini.

Mengakui ia membabitkan atlet berprofil tinggi, Norza bagaimanapun berkata pihaknya tidak boleh mengumumkan nama atlet terbabit selagi tidak mendapat kebenaran daripada Persatuan Badminton Dunia (BWF).

BAM mengadakan mesyuarat tergempar di hotel itu hari ini bermula jam 11 pagi yang turut disertai beberapa ahli jawatankuasa tertinggi.

Ia membincangkan isu doping yang menimpa pemain badminton negara seperti diperkatakan media sejak akhir-akhir ini

Sejak laporan pemain badminton negara didakwa gagal ujian doping didedahkan pada Isnin lalu, belum ada kenyataan rasmi daripada BWF dan BAM.

Sebelum ini, media yang sama melaporkan bekas Presiden BAM Tan Sri Elyas Omar berharap atlet berkenaan bersih daripada semua ini.

Menurut Elyas, terlalu sukar untuk beliau mempercayai semua ini memandangkan atlet berkenaan adalah ikon kepada negara dan sering dipuja rakyat Malaysia.

“Satu perkara yang sukar untuk diterima. Kalau atlet lain mungkin ya, tapi jika dia, ia amat mengejutkan.

“Apa pun, saya harap semua ini hanya mimpi dan semuanya akan kembali normal,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Dalam laporan sebelum ini, agensi berita antarabangsa AFP mendedahkan pemain badminton yang juga ikon negara dikaitkan dengan isu terbabit, namun Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar belum mahu mendedahkan nama atlet berkenaan berdasarkan peraturan Persekutuan Sukan Antarabangsa yang tidak akan mengeluar atau mengumumkan nama atlet terbabit sehingga ujian sampel B selesai.

Mengulas mengenai keputusan doping yang bakal diperoleh walaupun pada dasarnya sampel B mempunyai 99% peluang sama seperti keputusan sampel A, Elyas bagaimanapun tetap berharap satu keajaiban berlaku dan kembali membersihkan nama atlet berkenaan sebagai ikon negara.

“Saya harap sampel B akan membersihkan namanya. Walaupun mustahil tapi ia pernah berlaku sebelum ini.

“Walaupun harapan itu 0.1% tapi ia tetap peluang dan sama-sama kita berfikiran positif,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, Elyas juga menyeru semua peminat tanah air agar tidak terlalu awal membuat andaian dan mendengar khabar angin sebaliknya menunggu keputusan sampel B pada 16 November ini dengan penuh sabar kerana ia sangat tidak adil kepada empunya diri.

“Kita tak tahu apa yang berlaku, jadi seeloknya tunggu keputusan sampel B kerana dengan pelbagai andaian, ia akan memburukkan lagi keadaan.

“Jika didapati bersalah, siasatan rapi perlu dilakukan sama ada dia mengambil secara sengaja atau tidak sengaja,” katanya lagi.

Atlet berkenaan dikatakan gagal dalam ujian rawak di Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen penghujung Ogos lalu dan hanya dimaklumkan mengenai kegagalan ujian itu pada 1 Oktober lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.