Anggota JPJ Diperintah Bela Diri Kes Rasuah

Alor Setar – Seorang anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dituduh menerima suapan sebanyak RM1,000 diarah untuk membela diri di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah.

Hakim Azhar Mokhtar memerintahkan Subri Baharom membela diri di atas tuduhan menerima suapan daripada Muhamad Shafik Shaharani di sebuah kiosk makanan di daerah Langkawi pada pukul 12.40 tengah hari, 28 November 2012 lalu.

Suapan tersebut diterima oleh Subri yang bertugas sebagai Pembantu Penguatkuasa di JPJ cawangan Langkawi sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas sebuah kereta Kancil milik Muhamad Shafiq yang ditahan kerana cukai jalan tamat tempoh.

Subri yang diwakili peguam Firdaus Razak diarahkan memberi keterangan membela diri pada 14 Disember ini.

Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada 12 Februari lalu.

Pendakwaan dikemukakan pegawai pendakwaraya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Shahrul Khuzaini Amiruddin mengikut seksyen 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Tertuduh diikat jamin RM8,000. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.