Tunggakan GST RM19.4 Bilion, PAC Akan Panggil Najib Dan Guan Eng

SHAH ALAM – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk mendapatkan penjelasan berhubung isu tuntutan tunggakan bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Pengerusi PAC Datuk Seri Ronald Kiandee  berkata, Najib akan dipanggil pada 17 Oktober, manakala Guan Eng pula pada 22 Oktober ini.

Jawatankuasa itu juga akan memanggil semula bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah pada 16 Oktober. 

“Jawatankuasa berharap dapat membuat rumusan serta memberi cadangan kepada kerajaan apabila laporan PAC berhubung isu ini dibentangkan di Dewan Rakyat selepas ketiga-tiga mereka selesai memberikan penjelasan,” katanya.

Semalam PAC telah memanggil dua mantan Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk memberi keterangan berhubung isu yang sama.

“Menyentuh mengenai siasatan terhadap syarikat 1MDB, PAC Parlimen juga bersetuju untuk memulakan semula prosiding terhadap syarikat milik Kementerian Kewangan itu, seperti yang diputuskan Dewan Rakyat melalui usul Menteri Kewangan pada 16 Ogos lalu, tidak lama lagi,” katanya. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.