Selamat Bertanding Anwar, Saya Ke Port Dickson Mandi Laut – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan mengucapkan selamat bertanding kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson awal bulan depan.

“#BN #UMNO memboikot PRK Port Dickson. Selamat bertanding kepada sesiapa yang ingin (bertanding) termasuk Anwar Ibrahim,” kata Ahmad Maslan secara sinis dipetik dari laman Twitternya.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu juga menjelaskan jika kelibatnya kelihatan di Port Dickson hanyalah untuk bercuti semata-mata.

“Jika saya ke PD, hanya untuk mandi laut, main pasir dengan dua orang cucu serta lihat matahari terbenam di tepi pantai,” ujarnya lagi sambil berkongsi beberapa foto percutiannya sebelum ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 13 Oktober ini sebagai hari pengundian PRK Port Dickson selepas kerusi parlimen yang dimenangi PKR dalam PRU14 lalu dikosongkan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah bagi memberi laluan kepada Anwar Ibrahim.

Untuk rekod, Parlimen Port Dickson adalah kawasan yang ketiga sengaja dikosongkan penyandangnya demi kepentingan Anwar dalam tempoh 10 tahun sejak PRK Permatang Pauh 2008. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.