“Saya Akan Bersihkan Nama”

SHAH ALAM: Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengulangi keyakinan bahawa namanya akan dibersihkan di dalam mahkamah.

“Insya-Allah saya akan membersihkan nama saya tidak lama lagi di dalam mahkamah,” katanya dalam status di Facebook.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pertuduhan yang dikenakan terhadapnya baru-baru ini.

Ujarnya juga, pendakwaan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap beliau telah membataskan peluangnya mengulas isu berkaitan 1MDB.

“Tetapi dengan dakwaan ini di mahkamah, peluang untuk saya mengulas dan menjelaskan mengenai isu 1MDB secara umum di luar mahkamah telah dihadkan.

“Dengan kehakiman negara yang adil dalam menegakkan kebenaran, saya amat yakin bahawa ini peluang terbaik untuk menghentikan isu RM2.6 bilion yang sudah berlarutan bertahun-tahun ini buat sekian kalinya dan untuk selama-lamanya,” katanya lagi.

 

Khamis lalu, Najib berdepan dengan 25 pertuduhan berkaitan kemasukan RM2.6 billion ke akaun peribadi beliau membabitkan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Beliau menghadapi empat pertuduhan mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan 21 pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) – Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas kesemua pertuduhan.

Tarikh 16 November ditetapkan sebagai tarikh sebutan kes. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.