Saleem Tunjuk Tanda Positif, Semakin Stabil

PENYANYI popular, Saleem yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur selepas mengalami kemalangan motosikal pada 20 September lalu berada dalam keadaan stabil.

Isterinya, Juriah@ Julia Bachok berkata, Saleem yang ditidurkan sejak dimasukkan ke hospital mula menunjukkan tanda positif apabila menggerakkan kakinya pagi semalam.

“Pagi ini (semalam) abang Saleem menggerak-gerakkan kakinya mungkin kerana dia lenguh. Ini kerana semalam (kelmarin) doktor sudah mengurangkan dos ubat bagi menidurkan dia.

“Saya belum berjumpa doktor untuk bertanyakan perkembangan lanjut sama ada dia perlu menjalani pembedahan lagi atau sebaliknya kerana jadual mereka agak sibuk,” katanya.

Dalam pada itu, Julia merancang untuk menganjurkan satu persembahan amal bertujuan mengutip sumbangan bagi membiayai kos perubatan suaminya.

“Saya sudah menyenaraikan beberapa nama antaranya Haqiem Rusli dan Syafiq Farhain untuk terbabit dalam persembahan. Saya juga mungkin akan menyelitkan pemain gitar Iklim, Umarul dalam persembahan itu nanti,” katanya.

Julia berkata, dia juga sudah berbincang dengan Pengurus Besar House, Mike Cubinar dan dia bersetuju untuk bekerjasama menganjurkan persembahan itu di House, G Tower, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dalam masa terdekat ini. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.