PKR Pecat Ahli Cetus Kekecohan Ketika Pemilihan

Oleh: Shuhaniza Said

PETALING JAYA – Mesyuarat Biro Politik PKR malam ini memutuskan memecat dua anggotanya yang mencetuskan  kekecohan ketika proses pemilihan parti di Kedah dan Pulau Pinang, Sabtu lalu. 

Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, parti tidak boleh berkompromi dengan perlakuan biadap, selain bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang.

“Ada beberapa pelanggaran disiplin… ada yang lebih teruk berlaku, ada dua kes yang telah diteliti Biro Politik berdasarkan foto dan rakaman. Pertama di Merbok di mana pergaduhan dan guna senjata, maka kita ambil keputusan segera pecat serta merta anggota parti.

“Begitu juga satu lagi insiden di Seberang Jaya di mana kerusi dibaling…kita sedang kenal pasti namanya dan orang berkenaan automatik terpecat mulai sekarang. Bermakna dua orang dipecat setakat ini.

“Sebelum dia baling kerusi pada kita, kita baling dia keluar parti,”katanya dalam sidang media di Ibu pejabat PKR di sini malam ini. 

Anwar juga berkata parti tidak akan teragak-agak mengambil tindakan disiplin jika ada pemimpin yang ‘mendokong’ individu yang dipecat itu. 

Mengulas mengenai keputusan pemilihan parti, Anwar memaklumkan bahawa keputusan pemilihan di Pulau Pinang diterima manakala di Kedah keputusan akan ditangguh sehingga selewat-lewatnya November. 

Proses pemilihan pada Sabtu lalu dicemari insiden kekecohan yang berlaku di Kedah dan Pulau Pinang, susulan masalah sistem e-voting sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati ahli. 

Dalam kekecohan itu, beberapa ahli dilaporkan cedera. Rentetan kekecohan itu, polis menahan reman 13 lelaki selama 3 hari bagi membantu siasatan kes pergaduhan ketika pemilihan PKR Cabang Merbok.

Dalam pada itu, Anwar turut ditanya mengenai desakan Ketua Wanita PKR Haniza Talha yang mahu kepimpinan parti mengambil tindakan terhadap Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution dan Jawatankuasa Pemilhan Parti (JPP) ekoran proses pemilihan tidak lancar.

Bagaimanaoun Anwar memaklumkan perkara itu sama sekali tidak dibincang di dalam mesyuarat. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.