Pemimpin Kerajaan PH Jangan Kecam dan Sindir Peminjam PTPTN – Adam Adli

Setiap kali berbicara tentang isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), nama aktivis sosial dan pendidikan, Adam Adli Abd. Halim pasti disebut memandangkan anak muda tersebut adalah antara watak utama dalam siri protes menuntut pendidikan percuma suatu masa dahulu.

Setelah Pakatan Harapan (PH) berjaya menamatkan pemerintahan lebih enam dekad Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kelantangannya mula dipersoalkan apabila beliau dilihat senyap dan tidak lagi bersuara tentang isu pendidikan, lebih-lebih lagi setelah timbul isu janji manifesto PH tentang PTPTN yang belum ditunaikan.

Ikuti temu bual ringkas ADAM ADLI bersama wartawan Utusan Malaysia, KU SYAFIQ KU FOZI semalam mengenai isu tersebut.

UTUSAN: Bagaimana anda melihat prestasi kerajaan PH setakat ini, khususnya dalam isu anak muda dan mahasiswa?

ADAM: Jelas (PH) sedang hadapi kesukaran terutama dalam memenuhi janji manifesto tetapi ada keberanian untuk mencorakkan bentuk negara ke arah lebih baik. Namun saya akui, dalam isu anak muda atau mahasiswa, yang menerima amanah agak perlahan dan sesetengahnya mengece­wa­kan, terutamanya berkaitan kedudukan universiti dan pelajar. Jika dibuat perbandingan sektor pendidikan agak tertinggal.

UTUSAN: Apa komen anda tentang kenyataan pemimpin kerajaan berhubung peminjam PTPTN baru-baru ini?

ADAM: Sindiran terhadap pe­minjam PTPTN adalah tidak wa­jar. Kerajaan wajar terima ha­kikat bahawa pelajar akan sentiasa mengalami kesukaran untuk membayar balik, ia bukan salah pelajar semata-mata. Salahnya adalah pada sistem dan model PTPTN itu sendiri. Ia memang akan ditakdirkan gagal kerana sektor pendidikan bukan tempat untuk membuat keuntungan. Ke­gagalan untuk memenuhi manifesto masih boleh diterima, na­mun apabila mengecam pula peminjam, itu seolah mengkhianati persefahaman yang dibina dahulu.

UTUSAN: Isu PTPTN dimainkan oleh Pakatan Rakyat (PR) dan PH sejak PRU-13 lagi. Adakah ini penyumbang terbesar sokongan anak muda dan mahasiswa terhadap mereka?

ADAM: Tidak boleh dipastikan walaupun isu PTPTN sering jadi topik yang tersebar luas dan popular. Isu ini berbeza nada dan penggarisannya dalam PRU-14 berbanding PRU-13. PRU-13 ada menggariskan idea dan prinsip yang jelas tentang pemansuhan PTPTN yang menjerut pelajar dengan beban hutang. PRU-14 tidak lagi membincangkan prinsip tersebut dan digantikan de­ngan penangguhan bayaran serta membersihkan nama peminjam daripada senarai hitam. Separuh berhasil, separuh gagal.

UTUSAN: Adakah anda bersetuju propaganda PR/PH tentang PTPTN merupakan salah satu faktor peminjam tidak mahu membuat bayaran balik?

ADAM: Culas daripada membayar semula pinjaman tidak pernah disebabkan PH atau PR, dari dahulu lagi ia sudah berlaku, sejak awal 2000. PR dan PH ha­nya mula mengangkat isu PTPTN pada 2012. Sebelum itu, ramai yang sudah berhenti membayar sebagai sebuah aksi keingkaran awam. PH perlu terima hakikat bahawa jutaan peminjam akan gagal membayar semula PTPTN, jadi mereka perlu cari jalan keluar lain, bukan semata-mata menyindir peminjam.

UTUSAN: Apa harapan dan cadangan anda kepada PH khusus untuk isu anak muda dan mahasiswa?

ADAM: Anak muda zaman sekarang ialah anak muda yang terhubung. Golongan ini tidak mudah untuk diuruskan, apatah lagi dengan cara lama. Dalam isu pendidikan misalnya, jangan banyak berdolak-dalik. Tidak bo­leh tangguh mana-mana langkah perubahan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.