Najib, Guan Eng & Irwan Siregar Dipanggil PAC

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah bulan depan untuk menjelaskan mengenai prosiding tuntutan tunggakan bayaran Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiande berkata, Najib yang juga bekas Menteri Kewangan akan dipanggil pada 17 Oktober manakala Guan Eng pula pada 22 Oktober dan Irwan Serigar pada 16 Oktober ini.

Beliau berkata, jawatankuasa berharap dapat membuat rumusan dan memberi cadangan kepada kerajaan berhubung isu tuntutan tunggakan itu selepas ketiga-tiga mereka selesai memberikan penjelasan serta penerangan di hadapan PAC.

“PAC semalam meneruskan prosiding membabitkan isu tuntutan tunggakan bayaran GST dan ia adalah prosiding lanjutan yang bermula pada 12 dan 13 September lalu.

“Pada prosiding itu, dua bekas Menteri Kewangan ll, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang berkhidmat bagi tempoh Mac 2008 hingga Jun 2016 serta Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang berkhidmat bagi tempoh Jun 2016 hingga April 2018 hadir memberi keterangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, turut hadir memberi keterangan adalah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Datuk Siti Zauyah Md Desa yang mewakili Ketua Setiausaha Perbendaharaan serta pegawai kanan Kementerian Kewangan (MoF).

Kiande berkata, kedua-dua bekas Menteri Kewangan ll itu menjelaskan dan memberi penerangan selama kira-kira sejam yang menyentuh mengenai soal dasar serta tanggungjawab mereka yang berkisar mengenai cukai GST ketika memegang jawatan.

Menurutnya, PAC mengucapkan terima kasih atas kerjasama mereka kepada jawatankuasa itu dalam mencari kebenaran terhadap isu berkenaan.

Menyentuh mengenai siasatan terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Kiandee berkata, PAC juga bersetuju memulakan semula prosiding terhadap syarikat milik Kementerian Kewangan itu seperti yang diputuskan Dewan Rakyat melalui usul Menteri Kewangan pada 16 Ogos lalu.

“Prosiding itu akan dijalankan tidak lama lagi. Sebarang perkembangan dan maklumat lanjut mengenai prosiding akan dimaklumkan secara rasmi melalui kenyataan media kelak,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.