VIDEO: Mahathir Guna AMLATFA Ganti ISA Untuk Tekan Pemimpin UMNO – Lokman

Oleh: Shuhaniza Said

KUALA LUMPUR – Kira-kira 100 orang yang terdiri daripada pelbagai pertubuhan NGO berhimpun di perkarangan pintu Istana Negara malam ini bagi menyatakan sokongan kepada institusi Raja-raja Melayu, serta menuntut campur tangan Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) berhubung penyalahgunaan akta oleh kerajaan terhadap pemimpin UMNO.  

Menurut Presiden Pemantau Malaysia Baru (Pemantau), Datuk Lokman Noor Adam yang mewakili NGO berkenaan, kebelakangan ini wujud golongan yang sudah berani memperlekehkan institusi beraja, namun tiada sebarang tindakan diambil oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Malah katanya, dalam masa yang sama, kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu juga bertindak zalim apabila menyalahgunakan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) bagi menekan pemimpin UMNO.

“Kami sudah buat lebih daripada tiga laporan polis terhadap tiga individu. Pertama Kadir Jasin yang juga bekas Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) pernah mempertikaikan perbelanjaan istana. Kedua Hishamuddin Rais yang membuat penghinaan yang saya tak gamak nak sebut… walaupun dia dah padam posting itu. 

“Tapi tiada tindakan diambil ke atas individu ini. Bila tiada tindakan, ada pula yang usulkan supaya institusi beraja dihapuskan. Kemudian muncul nama Tamrin Ghafar, anak kepada Tun Ghafar Baba yang seru supaya satu referendum bagi menyingkirkan institusi beraja. Itulah sebab kita hadir malam ini,” katanya.

Menyentuh mengenai penyalahgunaan Akta AMLATFA, kata Lokman, ketika ini sudah ramai pemimpin UMNO menjadi mangsa disebabkan tekanan dan ugutan kerajaan PH menerusi akta tersebut.

“Hari ini kita lihat bagaimana AMLATFA digunakan untuk menggantikan ISA. Akta ISA dulu digunakan ketika rejim Mahathir untuk tekan musuh mereka. Sekarang mereka salahgunakan AMLATFA untuk tujuan itu.

“Ini bukan rule of law tapi rule of jungle,” kata Lokman sambil menambah, pihaknya telah menghantar memorandum kepada pihak Istana dua hari lalu. 

Minggu lalu, mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berdepan dengan 25 pertuduhan, dengan 21 daripadanya mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta AMLATFA. 

Manakala Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim menjadi pemimpin terbaru yang disiasat dan difahamkan beliau turut dituduh di bawah AMLATFA. Azeez direman empat hari bermula hari ini (Rabu) – SuaraTv 

One thought on “VIDEO: Mahathir Guna AMLATFA Ganti ISA Untuk Tekan Pemimpin UMNO – Lokman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.