Jerat Tali Pancing Ancam Penunggang Motosikal

GOMBAK – Penduduk Gombak terutamanya pengguna yang kerap melalui susur masuk dari Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) untuk ke Taman Perumahan Koperasi Fasa 1 dan Taman Rowther diingatkan untuk lebih berhati-hati kerana dikatakan terdapat ‘jerat’ dipasang di situ dipercayai untuk melakukan samun.

Maklumat tersebut dimuatnaik melalui posting seorang pengguna Facebook minggu lepas, yang kemudiannya tular dan dikongsi oleh pemilik laman sosial lain termasuk Facebook.

Menurut status itu lagi, ‘jerat’ dipasang diperbuat daripada tali pancing yang permukaannya didakwa sangat kasar dan biasanya taktik itu digunakan untuk menyamun pengguna motosikal di laluan motosikal.

Penulis status itu juga mendakwa itu juga antara sebab ramai pengguna motosikal atau ‘mat motor’ takut untuk menggunakan laluan motosikal terutamanya pada waktu malam.

Penulis turut memberitahu ‘jerat’ dipasang jika terkena kepada penunggang motosikal yang memakai topi keledar serta menunggang perlahan boleh menyebabkan ia koyak.

“Apatah lagi yang tidak memakai topi keledar dan tunggang laju, sudah tentu boleh cedera,” petik status itu lagi.

Status sama turut memberitahu situasi itu dilihat remeh tapi sebenarnya sangat berbahaya dan meminta semua penduduk Gombak khususnya untuk lebih berhati-hati pada waktu malam dan menularkan maklumat tersebut demi keselamatan semua.

Turut dikongsikan beberapa keping gambar bersama maklumat yang tular sebagai bukti.

Tinjauan Sinar Harian menerusi Facebook mendapati status itu mendapat lebih 9,900 ‘likes’, lebih 9,800 komen serta 23 perkongsian sejak dimuatnaik 17 September lalu.

Malah, komen terhadap maklumat tular itu masih aktif dibincangkan di kalangan netizen sehingga setakat jam 5.30 petang ini.

Rata-rata netizen menzahirkan rasa takut serta bimbang dengan keadaan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, pihaknya turut menerima info terbabit yang tular sejak semalam.

Beliau berkata, maklumat awal diterima daripada pengadu mengatakan dia menunggang motosikal di kawasan kejadian pada jam 6.30 petang Isnin minggu lepas dan mendapati terdapat sesuatu melekat di lehernya.

Menurutnya, pengadu kemudiannya memberhentikan motosikalnya dan setelah diperiksa mendapati ia adalah tali tangsi yang melekat pada dahan pokok di tepi jalan di situ dan tersangkut pada lehernya sehingga menyebabkan luka kecil serta koyakan pada tali keledar dipakainya.

Katanya, polis kemudiannya membuat pemeriksaan bersama pengadu di lokasi dan mendapati kejadian berlaku di jalan susur masuk ke Taman Koperasi Polis Fasa 1, Kuala Lumpur dari arah Duke.

“Siasatan dapati tiada sebarang perlakuan jenayah dilakukan dan tali tangsi tersebut juga tidak dipasang merentasi jalan kerana tiada kesan menunjukkan tali tangsi tersebut dipasang oleh seseorang merentasi jalan seperti didakwa pengadu.

“Laluan tersebut juga merupakan laluan awam dan dilalui pelbagai kenderaan….Tidak mungkin sama sekali tali tangsi tersebut dipasang merentangi susur jalan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.