Jenazah Pak Ngah Selamat Dikebumi

KUALA LUMPUR: Jenazah komposer terkenal Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang kira-kira pukul 5.20 petang tadi, dengan diiringi hujan lebat.

Kira-kira 500 ahli keluarga dan kenalan rapat Allahyarham hadir untuk memberi penghormatan terakhir.

Antara rakan artis yang kelihatan ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Jalaluddin Hassan, Syura Badron, Datuk M. Nasir dan Datuk Nassier Wahab.

Terdahulu jenazah dibawa menaiki bot daripada Batam kira-kira jam 8 pagi tadi dan tiba di Terminal Feri Pasir Gudang, Johor dua jam kemudian. Jenazah seterusnya dibawa ke Kuala Lumpur dan tiba di Masjid Jamek Kampung Baru pukul 3 petang.

Pak Ngah meninggal dunia kira-kira pukul 3.05 petang semalam selepas beberapa hari tidak sedarkan diri ketika di rawat di sebuat hospital di Batam. Dia disahkan mengalami kegagalan jantung.

Pak Ngah bersama keluarganya berkunjung ke Tanjung Pinang di Batam sejak 21 September lalu untuk bercuti dan meraikan kenalannya yang mendapat cahaya mata.

Memetik laporan mStar Online, anak sulung Allahyarham, Siti Syafrina Suhaimi, 32, berkata, bapanya menghidap penyakit darah tinggi, diabetes, jantung serta paru-paru berair.

“Abah memang kerap dimasukkan ke hospital sejak beberapa bulan ini jika berasa tidak sedap badan, dia akan terus minta dibawa ke hospital. Tambahan pula dia menghidapi penyakit ‘tiga serangkai’ iaitu darah tinggi, kencing manis, jantung dan terbaru masalah paru-paru berair,” katanya. 

Bagaimanapun Allahyarham enggan berkongsi masalah kesihatannya menyebabkan ramai pihak tidak menyangka dia sebenarnya kurang sihat.

Pak Ngah meninggalkan seorang isteri, Datin Sharifah Mahani Syed Kasim dan dua cahaya mata. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.