Dakwaan Setpol Rasuah: Anwar Akan Minta Penjelasan Baru Bian

Oleh: Shuhaniza Said

PETALING JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertemu dengan Menteri Kerja Raya, Baru Bian bagi mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan yang mengaitkan setiausaha politik menteri itu terlibat dengan rasuah. 

Menurut Anwar, beliau sendiri maklum mengenai perkara itu dan mengakui ia sesuatu yang ‘sangat mengganggu’.

“Saya secara peribadi membaca laporan dan menonton video (setiausaha politik itu membuat tawaran). Ia cukup mengganggu. 

“Saya akan bercakap dengan Baru Bian esok bagi mendapatkan penjelasan. Sudah tentu saya merasakan menteri patut ambil maklum mengenai dakwaan tersebut. Pada akhirnya, terpulang kepada SPRM untuk menyiasat,” kata Anwar dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini malam tadi.

Semalam, Setiausaha Pengelola Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ahmad Syukri Che Ab Razab,  membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa oleh setiausaha politik Baru. 

Ahmad Syukri mendakwa individu terbabit menawarkan kontrak bernilai RM20,000 dan peruntukan RM300,000 dalam satu mesyuarat dengan pemimpin tempatan pada 1 September lalu, di mana individu berkenaan bertanding untuk jawatan ketua cabang serta merebut Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Ahmad Syukri berkata beliau percaya kontrak dan dana yang ditawarkan oleh pembantu Baru itu sebagai pertukaran untuk undi dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung.

Dalam pada itu Anwar menambah, parti tidak memandang remeh mengenai amalan rasuah ketika pemilihan parti. – SuaraTv 

One thought on “Dakwaan Setpol Rasuah: Anwar Akan Minta Penjelasan Baru Bian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.