Cabul Bahasa Kebangsaan, NGO Johor Desak MBIP Lucut Jawatan Ahli Majlis

JOHOR BAHRU – Sekumpulan 30 orang yang terdiri daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Johor hari ini menyerahkan memorandum bagi mendesak Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) melucutkan jawatan Ahli Majlis, Chan Wei Khjan serta-merta.

Wakil NGO berkenaan, Pandak Ahmad berkata, desakan itu dibuat setelah ahli majlis berkenaan gagal untuk menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya dalam urusan rasmi bagi memaklumkan mengenai sebuah majlis dialog.

Ujarnya, tindakan ahli majlis berkenaan seolah-olah tidak menghormati Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi.

“Kekesalan ini adalah berlandaskan kepada sikap tidak mengutamakan penggunaan bahasa rasmi yang tidak sepatutnya berlaku oleh wakil wakil rasmi sebuah institusi kerajaan apatah lagi berlatar belakangkan lambang rasmi kerajaan.

“Atas asas yang sama, alasan penggunaan bahasa lain selain bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi kerajaan semata-mata menyokong pemahaman rakyat pelbagai kaum adalah tidak masuk akal,” katanya kepada pemberita. 

Memorandum itu diserahkan kepada Datuk Bandar Iskandar Puteri, Adib Azhari Daud.

Antara NGO yang hadir termasuklah Belia 4B Iskandar Puteri, Pertubuhan Warisan Melayu Iskandar Puteri, Dewan Muda Johor, Persatuan Veteran UMNO, Aktivis Sosial Anak Muda Johor dan Komuniti Anak Muda Johor.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka dengan tindakan Wei Khjan yang menggunakan bahasa Mandarin dalam urusan surat-menyurat rasmi pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam satu entri yang dimuat naik dalam Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim bertitah apa sahaja surat rasmi sama ada membabitkan kerajaan negeri mahu pun  PBT di Johor seharusnya ditulis dalam Bahasa Melayu.

Titahnya, semua pihak harus menghormati penggunaan Bahasa Melayu dalam sebarang urusan surat rasmi berkaitan kerajaan negeri mahu pun PBT yang digunapakai sejak dahulu di Johor.

“Saya sarankan kepada Ahli Majlis, jika tidak tahu buat kerja baik letak jawatan sahaja. Ini amaran saya, jangan pisang berbuah dua kali,” titah baginda. -SuaraTv 

 

Kredit gambar:Utusan Online

One thought on “Cabul Bahasa Kebangsaan, NGO Johor Desak MBIP Lucut Jawatan Ahli Majlis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.