Bekas SU Agung MIC Tak Jadi Tanding Calon Bebas PRK Port Dickson

SEREMBAN – Bekas setiausaha agung MIC Datuk S. Kumar hari ini mengumumkan keputusannya untuk tidak bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya kecil (PRK) parlimen Port Dickson.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan seorang peguam dan juga mengambil kira MIC tidak meletakkan calon bagi kerusi tradisi itu yang dahulu dikenali sebagai Telok Kemang, dan UMNO juga tidak bertanding.

“Saya telah mengambil inisiatif penuh untuk turun ke peringkat akar umbi di Port Dickson dan seterusnya mendapati bahawa terdapat banyak masalah dan isu dihadapi oleh masyarakat India yang perlu diselesaikan.

“Ini memerlukan jentera yang padu..saya dengan ini meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkaji perkara ini secara serius,” kata beliau dan menambah beliau menawarkan bantuan dalam usaha menyelaraskan mengenai isu-isu tersebut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Okt sebagai hari mengundii sementara penamaan calon ialah pada Sabtu ini.

Penyandang Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi parlimen Port Dickson itu pada 12 Sept lepas untuk memberi laluan kepada Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR kembali ke Dewan Rakyat.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 17,710 undi, menewaskan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan dari PAS.

Ini adalah PRK keempat sejak PRU14. Tiga pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini ialah bagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong, semuanya di Selangor. – Bernama

One thought on “Bekas SU Agung MIC Tak Jadi Tanding Calon Bebas PRK Port Dickson

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.