Azeez Rahim Ditahan Reman 4 Hari

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya, Abdul Latif Abdul Rahim direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes menerima rasuah.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim mengikut peruntukan 117 Kanun Acara Jenayah selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Seorang pengarah syarikat yang dikaitkan dengan Abdul Azeez turut direman bagi tempoh sama.

Terdahulu ketiga-tiga suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada pukul 10.30 pagi dengan memakai baju lokap SPRM berwarna jingga, dalam keadaan tangan digari.

Abdul Azeez yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, ditahan di ibu pejabat SPRM pada pukul 11.15 pagi semalam ketika hadir untuk memberi keterangan, manakala Abdul Latif yang juga Pengurus Besar sebuah syarikat pengurusan hartanah ditahan pada pukul 11.30 pagi pada hari yang sama di Sungai Buloh.

Sementara itu pengarah syarikat berumur 36 tahun itu pula ditahan pada pukul 5.30 petang semalam di ibu pejabat SPRM.

Menurut sumber, semua suspek berkenaan ditahan mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penerimaan rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor bagi satu projek melibatkan Tabung Haji.

Bagaimanapun difahamkan, siasatan SPRM ketika ini dibuat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA). – SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.