Azeez Dibawa Ke Mahkamah Untuk Perintah Reman

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Baling yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya sebentar tadi.

Abdul Azeez tiba dengan menaiki kereta Proton Preve warna perak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 10.30 pagi tadi.

Beliau yang diiringi pegawai SPRM, dibawa ke Aras 2 dengan ditemani keluarga dan sekumpulan penyokong yang melaungkan ‘Hidup BN’.

Turut dibawa ke mahkamah sama ialah abang dan saudara beliau.

Azeez, 52, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, ditahan jam 11.15 pagi semalam selepas hadir di ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan membantu siasatan kes menerima rasuah.

Abangnya, Abdul Latif, yang juga pengurus besar sebuah syarikat, ditahan di Sungai Buloh, 15 minit selepas itu.

Sumber memberitahu BH, kedua-duanya difahamkan ditahan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penerimaan rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor bagi satu projek. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.