Anwar Dijangka Berdepan Saingan Lima Penjuru Di PRK Port Dickson

SEREMBAN – Empat hari menjelang hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Port Dickson, bayangan semakin jelas dilihat bahawa Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menelusuri jalan mudah mencatat kemenangan tanpa bertanding.

Kemungkinan besar PRK ini, yang kali keempat diadakan selepas tiga PRK membabitkan Dewan Undangan Negeri di Selangor iaitu Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong, akan menyaksikan pertandingan lima penjuru.

Setakat ini beberapa pihak lain iaitu dua parti dan dua individu perseorangan sebelum ini menyatakan hasrat dan minat untuk mengambil bahagian selain Anwar, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR.

Parti Rakyat Malaysia (PRM), calon Bebas Stevie Chan Keng Leong dan bekas setiausaha agung MIC Datuk S. Kumar sudah menyatakan hasrat masing-masing sekali gus menyampaikan mesej akan wujud pertandingan bagi kerusi Parlimen itu yang dahulunya dikenali sebagai Teluk Kemang, sebelum persempadanan semula dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

PAS pula, menerusi Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 15 Sept lepas, dipetik sebagai berkata parti itu sedia bertanding pada PRK tersebut sekiranya tiada parti lain yang ingin bertanding dalam usaha memastikan Anwar tidak mendapat kemenangan percuma.

Alasan BN memboikot PRK berkenaan ialah cara pengosongan kerusi Port Dickson yang tidak demokratik selain selepas perbincangan dengan parti komponen iaitu MCA dan MIC.

Presiden PRM Mohd Hashim Saaludin pada Jumaat lepas pula dilapor sebagai berkata penyertaan parti itu adalah untuk membangkitkan isu rakyat dan mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya menunaikan janji-janji manifesto.

Pada PRK Sungai Kandis lepas, PRM juga mengumumkan untuk bertanding namun menarik diri pada saat akhir walaupun calonnya Ahmad Kamaruddin sudah tiba di Dewan Besar Tanjung Seksyen 19 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk penamaan calon.

Kumar yang sebelum ini pernah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata, Pahang di bawah tiket PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), namun tewas, bertanding untuk memperjuangkan hak kaum India.

Sementara Chan, seorang personaliti media sosial pula bertanding disebabkan rasa kecewa dengan kelewatan perubahan yang dijanjikan PH sebelum ini selain mendakwa PRK itu diadakan untuk memenuhi cita-cita dan impian seseorang individu serta menyifatkan ‘Langkah PD’ adalah salah.

Menurutnya ini adalah kerana PRK ini adalah satu ‘paksaan’ tidak ada keperluan mendesak, masa yang tidak sesuai dan rakyat mahu melihat wakil dipilih mereka melaksanakan agenda perubahan serta kerusi yang patut dikosongkan ialah milik anak Anwar, Nurul Izzah di Permatang Pauh atau isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Pandan.

Dr Wan Azizah ialah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Port Dickson pada 13 Okt dan hari penamaan calon pada 29 Sept manakala hari pengundian awal pada 9 Okt.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 Sept lepas untuk membolehkan Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Pada PRU14 Danyal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Parlimen Port Dickson yang memiliki sejumlah 75,770 pengundi dengan 68,486 orang adalah pemilih biasa, 7,268 pemilih awal dan 16 orang pemilih tidak hadir luar negara, merupakan kerusi tunggal PKR daripada lima kerusi Parlimen PH di Negeri Sembilan.

Parlimen Port Dickson yang merupakan kubu kuat PKR sejak 2008 mempunyai lima kerusi DUN iaitu Chuah dan Lukut dikuasai DAP, Bagan Pinang dan Linggi (BN) dan Sri Tanjung (dahulu Port Dickson) (PKR). — BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.