Ahli Parlimen DAP Sokong Tutup Pusat Tahfiz Di Kepong

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kepong mengalu-alukan keputusan Kementerian Wilayah yang mengarahkan penutupan sebuah pusat tahfiz di Kepong.

Lim Lip Eng berkata, ia selepas beliau melihat keadaan pusat tahfiz tersebut yang tidak kondusif untuk proses pembelajaran.

Beliau yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan berkata, perlunya garis panduan yang jelas mengenai operasi pusat pendidikan dan jagaan kanak-kanak di negara ini.

“Saya sendiri buat lawatan ke pusat tahfiz itu dan mendapati keadaannya tidak terurus dengan sistem pendawaian yang membahayakan,” katanya.

Beliau dalam pada itu, mencadangkan sistem pemantauan dan penyeliaan pusat tahfiz serta tenaga pengajar diwujudkan bukan sahaja melibatkan institusi agama dan kementerian pendidikan tetapi juga jabatan kebajikan.

Menurutnya, pemantauan ketat bukan sahaja di pusat tahfiz malah wajar digunakan di pusat jagaan lain termasuk rumah anak yatim dan gereja demi memelihara keselamatan, kebajikan dan kepentingan kanak-kanak.

“Tidak wajar serahkan anak-anak kepada mana-mana individu atau organisasi atas nama pendidikan tanpa ambil peduli tanggungjawab organisasi tersebut dalam pastikan keselamatan kanak-kanak di bawah jagaan mereka.

“Kerajaan perlu ada peranan khusus dalam pastikan keselamatan kanak-kanak dengan memantau secara berkala, pastikan rumah jagaan dan pusat pendidikan agama patuhi peraturan serta piawaian ditetapkan,” katanya.

Tambahnya, mengabaikan kebajikan kanak-kanak di tangan mereka yang tidak bertanggungjawab bukanlah satu pilihan. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.