Ada Kenyataan Mat Sabu Yang Saya Rasa Bodoh, Kata Pesara Tentera

PETALING JAYA – Pesara tentera yang membuat kiriman Facebook mengkritik Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mempertahankan tindakannya, mengatakan beliau hanya menyatakan kebenaran.

Major (B) Mior Rosli yang sebelum itu pernah menjadi setiausaha kehormat Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), memberitahu FMT, beliau masih belum melihat “pencapaian cemerlang” kementerian itu walaupun lebih 100 hari Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan.

Beliau berkata terdapat banyak masalah dalam kementerian yang perlu ditangani.

“Apabila PH menang, saya menunggu kerajaan mengumumkan siapa yang bakal menjadi menteri pertahanan. Sebaik sahaja mereka mengumumkan Mat Sabu sebagai menteri, saya terus menghubunginya,” katanya merujuk kepada Mohamad.

“Saya menyenaraikan semua masalah yang berkaitan kementerian yang perlu diselesaikan kerajaan baru, termasuk kebajikan veteran. (Tetapi) dia tidak menjawab panggilan saya.”

Mior mengakui Mat Sabu harus diberi peluang untuk membuktikan beliau boleh mengendalikan portfolio pertahanan.

Beliau juga mengkritik beberapa kenyataan menteri itu dengan megatakan ia sebagai memalukan, memandangkan ia dibuat tanpa kajian yang tepat.

“Ada jawapan yang diberi, yang saya rasa bodoh, dia akan diketawakan. Buat ‘homework’ dulu baru beri penjelasan.

“Tapi dia hanya cakap dengan menyalahkan pemimpin yang dulu. Itu saya pun boleh cakap. Pemimpin lepas rasuah dan sebagainya.”

Mior juga menyuarakan kekecewaan terhadap teks yang dibaca Mat Sabu di Parlimen, dengan mengatakan ia sama dengan teks menteri pertahanan sebelum ini, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata rakyat memilih Mat Sabu sebagai pemimpin dengan harapan dapat membantu negara. Bagaimanapun, beliau mendakwa Mat Sabu masih jauh untuk mencapai apa yang diharapkan sebagai menteri pertahanan.

Patriot juga menjarakkan diri dengan kritikan Mior, mengatakan Mior tidak lagi bersama kumpulan itu.

Mior bagaimanapun berkata beliau tidak akan menarik balik kritikannya.

“Orang ramai mengatakan saya terlalu keras, tetapi itulah yang perlu kita lakukan supaya pemimpin kerajaan sentiasa bertanggungjawab.

“Ada sebab mengapa mereka dipilih oleh rakyat.”

Katanya, beliau akan terus mengkritik sehingga beliau melihat perubahan dalam kementerian itu dan penyelesaian kepada semua masalah. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.