Wanita Tergemuk Di Dunia Meninggal Selepas Seminggu Ulang Tahun Kelahirannya

Abu Dhabi – Wanita paling gemuk di dunia, Eman Ahmed yang berusaha mengurangkan berat badannya, meninggal dunia di Abu Dhabi, semalam seminggu selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-37.

Pihak berkuasa Hospital Burjeel di Abu Dhabi mengesahkan kematian Eman akibat pelbagai komplikasi termasuk penyakit jantung dan kegagalan buah pinggang.

“Dia dipantau pasukan perubatan merangkumi lebih 20 doktor daripada pelbagai kepakaran berbeza dari saat dia tiba di Emiriah Arab Bersatu. Pihak kami mengucapkan takziah kepada keluarganya,” kata hospital itu dalam satu kenyataan.

Eman, rakyat Mesir, dibawa ke Hospital Saifee di Mumbai, India, untuk rawatan bagi mengurangkan berat badannya sebelum dipindahkan ke Hospital Burjeel pada 4 Mei lalu selepas menghabiskan tiga bulan di India.

Wanita itu mempunyai berat 504 kilogram ketika pertama kali tiba di Mumbai pada 11 Februari lalu dan berjaya membuang 300 kilogram selepas pembedahan serta kawalan pemakanan di hospital berkenaan.

Doktor di Hospital Burjeel sebelum ini mengongsikan video menunjukkan Eman semakin pulih, tiga kali lebih pantas daripada dijangkakan.

Ketua pegawai perubatan Hospital Burjeel, Dr Yassin El Shahat sebelum ini berkata Eman sepatutnya mampu makan sendiri secara normal pada akhir tahap dua rawatannya selain semakin hampir menggunakan kerusi roda elektrik jika berat badannya sampai ke tahap lebih normal. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.