Tujuh Remaja Suspek Dibawa Ke Pusat Tahfiz Bantu Siasatan Lanjut

KUALA LUMPUR – Tujuh remaja yang ditahan dalam siasatan kes kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat di sini di bawa ke lokasi kejadian dengan kawalan ketat polis kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

Tinjauan Bernama mendapati seorang daripada suspek dibawa ke sekitar Taman Tasik Datuk Keramat di belakang tafiz tersebut selama 10 minit, dua lagi kelihatan dekat tangga di belakang bangunan tahfiz yang terbakar itu manakala yang lain tidak kelihatan kerana dikawal ketat anggota polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Md Isa ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Saya telah arahkan anggota saya bawa semua tujuh suspek ke lokasi kejadian hari ini,” katanya.

Khamis lalu seorang daripada tujuh remaja yang berumur antara 11 dan 18 tahun dibawa ke lokasi kejadian dengan kawalan ketat polis.

Kebakaran pusat tahfiz 14 Sept itu mengorbankan 21 pelajar dan dua guru akibat terperangkap di asrama di tingkat paling atas bangunan tiga tingkat itu.

Pada Jumaat lepas, tempoh reman tujuh remaja disyaki terlibat dalam kes kebakaran di pusat tahfiz itu disambung tujuh hari lagi sehingga 29 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.

Dalam pada itu, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Negara (NIOSH) , Tan Sri Lee Lam Thye yang turut melawat pusat tahfiz itu petang ini berkata pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyediakan modul dan pelan keselamatan yang bersesuaian dengan pusat maahad tahfiz seluruh negara.

“Peranan NIOSH hanya untuk membantu untuk memastikan pusat-pusat tahfiz seluruh negara mematuhi standard keselamatan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dan selamat untuk diduduki,” katanya kepada pemberita. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.