TPM Tiba Di China Untuk Lawatan Kerja

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di China untuk lawatan kerja tiga hari.

Pesawat yang membawa Ahmad Zahid dan isterinya Hamidah Khamis mendarat pada kira-kira 8.30 malam ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing.

Terdahulu, Duta Besar Malaysia di China Datuk Zainuddin Yahya berkata timbalan perdana menteri mempunyai jadual padat pada Selasa dengan beberapa acara penting termasuk menghadiri majlis perasmian Perhimpunan Agung Ke-86 Interpol.

Beliau berkata majlis perasmian itu akan disempurnakan Presiden Republik Rakyat China Xi Jinping di Pusat Konvensyen Kebangsaan China.

Katanya lawatan Ahmad Zahid ke China berobjektif mengeratkan lagi hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama dengan republik itu dan negara anggota Interpol.

Wisma Putra mengeluarkan makluman terkini aturcara lawatan Ahmad Zahid dengan beliau dijangka mengunjungi Setiausaha Hal Ehwal Politik Pusat dan Undang-Undang China Meng Jianzhu dan kedua-duanya akan menghadiri jamuan tengah hari di pejabat Meng di ibu negara.

Pada petangnya, Ahmad Zahid dijadual mengunjungi Menteri Keselamatan Awam China Guo Sheng Kun di Rumah Tetamu Negara Diaoyutai pada 4.40 petang.

Kemudiannya di tempat yang sama, timbalan perdana menteri akan mengadakan perjumpaan dengan Meng Jianzhu dan Presiden Interpol Meng Ho Wei sebelum menghadiri majlis makan malam Interpol.

Ahmad Zahid dijadual berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada 12 tengah hari Rabu.-Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.