“Tak Tahu, Tak Ingat.. Adakah Ini Yang Dikatakan Melayu Mudah Lupa?”

Seramai 25 saksi telah memberi keterangan disamping 42 dokumen ditampilkan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) akibat dagangan mata wang asing (forex) era 1990-an.

Sepanjang prosiding tersebut berlansung, pelbagai kenyataan direkodkan dan terdapat percanggahan maklumat dalam kalangan saksi terhadap nilai sebenar kerugian yang dialami bank pusat berkenaan.

“Ada yang mengatakan Bank Negara cuma rugi RM5.7 bilion dan ada yang katakan kerugian antara RM31 bilion hingga RM32 bilion. Dan ada yang katakan kerajaan telah menyatakan perkara benar mengenai apa yang telah berlaku. Dan ada yang katakan kebenarannya disembunyikan.

“Dan ada yang katakan, tak tahu, tak ingat,” kata penganalisis politik muda, Raja Sara Petra.

Kenyataan ‘tak tahu, tak ingat’ itu dinyatakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggalas tugas Perdana Menteri sewaktu dagangan berkenaan berlangsung.

BACA: “Saya Tak Tahu, Tak Ingat,” Kata Mahathir Kepada RCI Kerugian RM32 Bilion BNM

Beliau menafikan BNM rugi lebih RM30 bilion dan ianya disokong oleh bekas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan era Dr Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, nilai kerugian cuma RM5.7 bilion dan ianya sekadar kerugian ‘atas kertas’.

Walaubagaimanapun, bekas Gabenor BNM Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menegaskan bahawa bank pusat Malaysia mengalami kerugian lebih RM32 bilion dan beliau mengetahuinya semenjak beliau bertugas sebagai pegawai BNM cawangan London.

Pengakuan oleh Zeti ini memperlihatkan sebanyak RM25 bilion hingga RM26 bilion nilai kerugian tidak direkodkan ekoran kerajaan pentadbiran Dr Mahathir hanya mendedahkan jumlah kerugian RM5.7 bilion.

“Ini sebabnya kita memerlukan RCI. Rakyat Malaysia perlu tahu apa yang terjadi terhadap RM25 bilion atau RM26 bilion yang tidak dilaporkan. Dan jika wang tersebut dicuri, siapa yang mencurinya?

“Kita tak mungkin boleh menerima jawapan tak tahu, tak ingat, bukan? Benda lain semua tahu. Tiba-tiba yang ini pula, tak tahu. Adakah ini yang dikatakan Melayu mudah lupa?” soalnya. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.