Pelajar Sekolah Tahfiz Diberi Pendedahan Keselamatan Kebakaran

AYER HITAM – Seramai 33 pelajar Maahad Tahfiz Nurul Hidayah di sini diberi pendedahan mengenai keselamatan kebakaran dan cara memadam kebakaran oleh Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) Kedah Medical Centre (KMC), di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KMC, Norhalida Abdullah berkata, program berkenaan adalah salah satu khidmat masyarakat yang diadakan susulan tragedi kebakaran yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah, baru-baru ini.

“Kita sangat prihatin dan turut bersimpati dengan kejadian terbabit dan hari ini kita hadir untuk memantapkan aspek keselamatan dan mengenalpasti kawasan berisiko di persekitaran pusat tahfiz bagi mengelakkan kejadian sama berulang lagi,” katanya selepas sesi latihan memadam kebakaran di Maahad Tahfiz Nurul Hidayah, hari ini.

Menurutnya, latihan dan taklimat semalam diuruskan oleh pasukan ERT terlatih yang mana diiktiraf oleh Pihak Bomba dan Penyelamat Kedah untuk bersedia di hospital seandainya berlaku sebarang kecemasan.

“Dalam program ini juga, KMC berbesar hati menyumbangkan lima buat alat pemadam api yang akan ditempatkan di beberapa tempat mengikut kesesuaian.

“Kita pilih pusat tahfiz ini kerana penempatan fizikal asrama agak sempit dan terletak berdekatan dengan rumah penduduk kampung.

“In shaa allah dari masa ke semasa, KMC akan berusaha untuk terus membantu pusat tahfiz di sekitar negeri ini dan kita anggarkan lima lagi pusat tahfiz akan menerima kunjungan kami sehingga Disember ini,”katanya.

Sementara itu, Pegawai Keselamatan KMC, Raja Aezly Raja Azam berkata, hasil pemerhatiannya, beliau mendapati pusat tahfiz berkenaan mempunyai beberapa kekurangan terutama dari segi bilangan alat pemadam api.

Selain itu, laluan di dalam asrama juga hanya ada satu saja, sedangkan ikut syarat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,laluan perlu ada dua iatu depan dan belakang. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.