Pahang Kurnia Darjah Kebesaran Pada Afdlin, Aliff Syukri

Usahawan kosmetik Datuk Aliff Syukri Kamarzaman dan pengarah filem Afdlin Shauki Aksan hari ini menyertai barisan selebriti yang dianugerahkan gelaran kebesaran.

Kedua-duanya dianugerahkan darjah kebesaran Pahang sempena memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang hari ini, menurut laporan Utusan Online.

Afdlin Shauki, 46, menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk.

Aliff Syukri, 30, pula menerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Darjah kebesaran dikurniakan oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

 

Terkenal sebagai pengarah filem yang mendapat pelbagai anugerah, Afdlin juga merupakan pelawak dengan identitinya sendiri.

Selain itu, beliau juga lantang menyuarakan pandangan berhubung isu semasa dan dunia hiburan, antaranya memboikot Festival Filem Malaysia (FFM) 2016 ekoran penganjur memisahkan filem yang menggunakan bahasa Melayu dan tidak, dalam tiga kategori pencalonan.

Aliff Syukri pula pemilik jenama D’Herbs yang tidak sepi daripada kontroversi, antara yang paling mendapat perhatian adalah pertelingkahan antaranya dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) selepas KFA menolak tawaran tajaannya.

Kerabat diraja Pahang dikenali sering menganugerahkan darjah kebesaran kepada selebriti, antara yang pernah menerimanya sebelum ini adalah komposer dan penyanyi M Nasir, komposer Ramli MS, penyanyi Awie dan pelakon Hans Isaac.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.