Lima Ke Enam Hospital Dalam Keadaan ‘Sakit’

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam hari ini mendedahkan terdapat lima hingga enam hospital “sakit” yang gagal disiapkan mengikut jadual atas faktor-faktor tertentu.

“Hospital-hospital itu kini ada yang ‘sedikit sakit’ dan ada yang sangat ‘sakit’ dan sedang dalam proses ‘rawatan’,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Hospital Cyberjaya.

Hospital Cyberjaya yang akan menggunakan tenaga solar yang optimum dan teknologi pengumpulan haba bakal menjadi hospital pertama bertaraf platinum di bawah pensijilan Indeks Bangunan Hijau di negara ini.

Mengambil iktibar daripada kelewatan projek pembinaan Hospital Shah Alam, Dr Subramaniam mahu pembinaan Hospital Cyberjaya bernilai RM475 juta itu disiapkan mengikut jadual iaitu pada November 2020 agar dapat dimanfaatkan oleh penduduk setempat.

Dalam kes Hospital Shah Alam katanya, kementerian terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan lebih RM60 juta bagi pembinaan hospital tersebut yang hanya disiapkan pada 2015, iaitu empat tahun lewat daripada jadual asal pada 2011.

Dr Subramaniam berkata peruntukan sebanyak RM23 bilion untuk Kementerian Kesihatan dalam Bajet 2017 adalah tidak mencukupi bagi memberi perkhidmatan kesihatan yang baik kepada rakyat memandangkan kos perubatan yang semakin meningkat.

Justeru beliau berharap Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah yang turut hadir pada majlis di Cyberjaya itu, mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar menambah peruntukan untuk kementeriannya pada bajet akan datang.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika ditemui pemberita pada majlis yang sama berkata kementerian mendapat tambahan peruntukan antara 10 dan 15 peratus setiap tahun.

Beliau berkata jumlah kes yang menerima rawatan meningkat setiap tahun dengan tahun lalu sahaja kes pesakit luar mencatatkan pertambahan 10 juta kepada 55 juta kes berbanding 45 juta pada 2015.

“Malah pesakit yang dirawat di dalam hospital juga meningkat lebih 100,000 pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata bajet yang diperuntukkan kerajaan digunakan untuk rawatan pesakit, emolumen, subsidi perubatan dan pembangunan.-Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!