Kerinduan Heliza Helmi

BIARPUN sibuk melaksanakan pelbagai misi kemanusiaan, jauh di sudut hatinya, Heliza Helmi rindu untuk kembali menyanyi.

Rentetan itu, selebriti berusia 31 tahun ini berusaha keras menyusun jadualnya demi merakam single terbaru, Izinkan Kami Sebarkan Cinta.

“Saya sebenarnya rindu suasana rakam lagu, dapat berkumpul di studio selain mahu menghiburkan peminat.

 

“Sebab itu, sesibuk mana pun, saya sanggup bekukan jadual sekejap untuk rekod lagu,” katanya kepada Media Hiburan.

Tidak keseorangan, lagu ciptaan Erwan Muhibbain itu turut dinyanyikan bersama adiknya, Hazwani Helmi dan dua lagi penyanyi lain iaitu Sofea Humairan serta Alya Yassin.

Katanya, mereka mendapat tawaran tahun lalu untuk menyanyi bersama Hazwani dan Erwan tapi terpaksa menangguhkannya kerana jadual terlalu padat.

“Akhirnya, dia tawarkan untuk berduet dengan anaknya Sofia dan penyanyi dari Brunei, Alya. Dan ia kena pula dengan masanya,” katanya.

Mengulas lanjut, Heliza mengakui ‘terpikat’ dengan lirik lagu tersebut yang mengandungi nilai positif serta penuh motivasi.

Tambahnya, lagu berkenaan berkisarkan kekeluargaan dengan lirik yang sangat indah dan penuh makna selain bersifat doa.

Bukan itu sahaja, kata Heliza, single berkenaan turut dilancarkan serentak dengan program motivasi yang berjudul sama, Izinkan Kami Sebarkan Cinta.

“Saya tertarik dengan program ini kerana ia bukan hanya mengajak orang ramai menyemai cinta tetapi turut menghimpunkan penggiat seni, ilmuwan dan usahawan.

“Saya berharap program ini tidak hanya sekadar memberi ceramah dan menyanyi, tetapi juga memberi peluang untuk dikembangkan kepada sitkom,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Heliza bakal meneruskan misi kemanusiaan dan bantuan musim sejuk ke Syria Disember ini.

“Setakat ini, kami sedang mencari dana lagi dan berharap akan dapat lebih lagi kali ini. Sebelum ini kami berjaya mendapatkan dana RM1.7 juta, tetapi masih tidak mencukupi,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.