Donnie Kena Belajar dialek Teochew

BINTANG aksi popular Hong Kong, Donnie Yen mengakui berdepan kesukaran bertutur menggunakan dialek Teochew dalam filem terbarunya, Chasing The Dragon yang bakal ditayangkan di Malaysia mulai Khamis ini.

Donnie, 54, yang melakonkan watak pengedar dadah, Crippled Ho terpaksa mendapatkan khidmat guru bahasa bagi memastikan watak itu dapat disampaikan dengan baik.

“Apa saya boleh katakan, bertutur dalam dialek itu tidak semudah yang difikirkan. Kalau saya cuba bercakap juga, kedengarannya sangat buruk.

“Jadi, saya mengambil keputusan untuk mendapatkan guru bahasa yang boleh mengajar saya. Walaupun ia mengambil sedikit masa, tetapi saya berpuas hati. Saya tidak mahu bersikap asal boleh,” katanya dalam sesi temubual bersama media Malaysia di Hotel Harbour Grand, Kowloon, Hong Kong, hari ini.

Dalam masa sama, Donnie berasakan watak itu satu cabaran terbesar untuknya sepanjang lebih 30 tahun bergelar pelakon.

“Bagi saya watak ini sangat berat. Jadi selepas selesai penggambaran, saya berusaha untuk membuangnya kerana tidak mahu ia terbawa-bawa ke rumah.

“Sepanjang terbabit dalam industri lakonan, saya sudah melihat banyak filem dari genre sebegini. Malah saya sering berharap diberikan cabaran baru dalam filem aksi. Apabila ditawarkan watak ini, saya menyahut cabaran diberikan,” katanya.

Filem arahan Wong Jing itu adalah berdasarkan kisah benar pengedar dadah Crippled Ho yang sebelum ini turut dipaparkan dalam filem To Be Number One yang diterbitkan pada 1991.

Selain Donnie, filem ini turut menampilkan pelakon popular Andy Lau yang melakonkan watak anggota polis bernama Lee Rock.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.