Bekas KM Sabah Dapat Ganti Rugi RM600,000

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee supaya membayar ganti rugi RM600,000 kepada bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Salleh kerana fitnah berhubung tragedi ‘Double Six’.

Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel lima hakim membenarkan rayuan Harris untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Yong bertanggungjawab kerana membuat kenyataan berbaur fitnah.

Mahkamah bagaimanapun mendapati ganti rugi RM1 juta yang dibenarkan oleh Mahkamah TInggi kepada Harris adalah berlebihan dan mengurangkan jumlah itu kepada RM600,000.

Mahkamah turut membenarkan faedah lapan peratus ke atas ganti rugi itu bermula dari tarikh penghakiman Mahkamah Tinggi pada 29 Feb, 2012, dan jumlah keseluruhan kos RM200,000.

Harris menyaman Yong dan SAPP kerana fitnah berhubung tragedi ‘Double Six’ yang mengorbankan ketua menteri ketika itu, Tun Fuad Stephens dan 10 orang lain di dalam pesawat Nomad yang terhempas pada 7 Jun, 1976.

​​​​​​​Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop yang menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah menegaskan bahawa Yong hanya menyiarkan kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah dengan beberapa huraian lanjut dan beliau tidak menyemak semula fakta berkaitan dakwaan itu.

Ahmad berkata mahkamah membenarkan rayuan Harris atas alasan berbeza berbanding alasan yang disampaikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Abdul Rahman Sebli (kini Hakim Mahkamah Rayuan).

Hakim lain yang turut bersidang dalam panel itu ialah Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Aziah Ali.

Harris menang kesnya di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu tetapi berikutan rayuan Yong, Mahkamah Rayuan pada 18 Nov 2013 meminda keputusan itu.

Hakim Abdul Rahman dalam keputusannya berkata beliau mendapati Yong telah “melampau batas” apabila beliau menyindir Harris “memikul tanggungjawab atas kematian orang lain”, sungguhpun tiada salahnya bagi Yong menggesa supaya kemalangan udara itu disiasat semula.

Ini menyebabkan Harris membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan dan beliau diberi kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Hakim Trevor Maringking mewakili Harris manakala peguam Shim Mong Seng pula bagi Yong serta SAPP. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.