6,000 Dipindahkan Di Vanuatu

SYDNEY – Lebih 6,000 penduduk dipindahkan ke tempat perlindungan sementara di pulau utara Ambae, Vanuatu di Pasifik Selatan hari ini susulan ancaman letusan gunung berapi.

Pejabat Pengurusan Bencana Vanuatu berkata, gunung berapi Monaro mula aktif awal bulan ini namun aktivitinya meningkat hujung minggu lalu apabila mengeluarkan debu dan gas, mencetuskan kebimbangan akan berlaku letusan, lapor BH.

Pihak berkuasa sudah mewujudkan 15 pusat perlindungan namun skala besar pemindahan mengekang bekalan, kata pengarah pejabat berkenaan, Shadrack Welegtabit.

“Kita mengalami musim kering dan dengan debu mencemari bekalan, kebimbangan terbesar ketika ini ialah mendapatkan air bersih untuk penduduk yang berlindung,” Welegtabit kepada Reuters.

Kali terakhir gunung berapi di Ambae meletus ialah pada 2005.

Pekerja bantuan berkata, Vanuatu, satu daripada negara termiskin dunia, di mana penduduk tempatan bergantung sepenuhnya kepada makanan ditanam sendiri.

Negara itu, terdiri daripada lebih 80 pulau berselerak, didiami 260,000 penduduk, terletak di lingkaran api Pasifik yang aktif secara geologi. Gunung berapi terletak di pulau Tana adalah antara tarikan utama pelancong. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.