Video: Sukar Dapat Pinjaman Bantut Niat Untuk Beli Rumah

 

 

KUALA LUMPUR – Pemaju perumahan, Ligamas Sdn Bhd berharap agar kerajaan dapat memberi perhatian terhadap syarat-syarat permohonan yang ditetapkan kepada rakyat yang ingin membuat permohonan bagi memiliki rumah sendiri pada Bajet 2017 yang akan dibentangkan Oktober ini.

 

 

Pengerusinya, Datuk Ghani Hashim (gambar) berkata pihak pemaju menerima permintaan yang tinggi daripada orang ramai yang ingin memiliki rumah sama ada untuk diduduki atau dijadikan sebagai bentuk pelaburan, tetapi kekangan daripada syarat permohonan pinjaman yang ketat membantutkan niat pembeli.

 

 

“Kami (Ligamas) berharap agar kerajaan mempertimbangkan semula syarat-syarat yang ditetapkan agar ia dapat memudahkan orang ramai untuk memiliki rumah sendiri.

 

 

“Jika syarat yang dikenakan untuk mohon rumah pun susah, harapan untuk mereka beli rumah pun tergendala,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ligamas Residence di Batang Kali pada Ahad.

 

 

Ghani yang juga merupakan Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkata projek perumahan baharu Ligamas Residence di Batang Kali kini 80 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya akhir tahun depan.

 

 

“Projek ini melibatkan pembinaan 221 unit rumah berkembar dua tingkat berkeluasan 2,155 kaki persegi di atas tapak seluas 15.9 hektar.

 

 

“Projek ini terletak berhampiran destinasi pelancongan utama negara iaitu Genting Highlands dan Bukit Fraser. Ia hanya mengambil masa 30 minit perjalanan ke Kuala Lumpur dan hanya 15 minit ke Rawang,” katanya lagi.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.