Tiga Beranak Disyaki Dibunuh

KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki dan dua anaknya dipercayai dibunuh, dan ditemui di sebuah rumah sewa di tingkat dua Apartment Nova, Sri Sinar, Segambut di sini, hari ini.

 

 

Ketua Polis Sentul, ACP R. Munusamy berkata, mayat Cheah Thing Soon, 34, serta anak perempuannya berusia tiga tahun dan anak lelakinya yang berumur tujuh bulan ditemui di dua bilik unit tersebut pada tengahari tadi.

 

 

Sebelum itu, pihaknya menerima panggilan daripada isteri mangsa yang terkejut menjumpai mayat mereka semasa mengunjungi pangsapuri tersebut.

 

Siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan pada mangsa mahupun tompokan darah di unit itu namun, ketiga-tiga mayat itu dalam keadaan mula mereput.

 

 

“Mayat kedua-dua kanak-kanak itu ditemui dalam dua bekas simpan barang yang besar yang ditutup dengan plastik. Bapa mereka ditemui mati dalam keadaan terlentang di bilik tidur utama,” kata Munusamy, lapor Bernama.

 

 

Munusamy berkata, mangsa dan isterinya kini tinggal berasingan dan menambah polis turut mengambil keterangan daripada isteri mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

 

 

Mayat ketiga-tiga beranak itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur di sini untuk dibedah siasat.

 

 

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Akta Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.