Jika Tanding Tiga Penjuru, PAN Bakal Menang 9 Kerusi DUN Selangor, Kata Husam

MUAR – ADUN Salor, Datuk Husam Musa meramalkan parti yang baru disertainya, Amanah berpotensi memenangi lebih separuh daripada kerusi DUN di Selangor yang dimenangi PAS sewaktu pilihan raya umum lalu, jika berlaku persaingan tiga penjuru pada PRU14 kelak.

 

“Kalau PAS bertanding tiga penjuru, siapa yang paling rugi sekali? PAS ingat DAP yang paling rugi. Setakat yang saya lihat keputusan pilihan raya, katakanlah di Selangor, kalau PAS tanding di kerusi DAP, dengan 65 peratus undi Cina pergi ke DAP hari ini, DAP tak akan terjejas.

 

“Siapa yang akan terjejas kalau Amanah bertanding di 15 kerusi DUN Selangor yang PAS menang? Amanah akan ada peluang menang sembilan daripada 15 kerusi tersebut.

 

“Jadi, Amanah Selangor, balik saja dari ulang tahun ini, lancarkan jentera pilihan raya di kesemua 15 DUN yang dimenangi oleh PAS,” katanya sewaktu menjadi panel sembang santai sempena Sambutan Setahun Amanah, di sini malam tadi.

 

Pada PRU13 yang lalu, PAS berjaya mendapat 15 kerusi DUN, namun ‘kehilangan’ dua kerusi pada tahun lalu selepas ADUN Morib, Hasnul Baharudin dan ADUn Hulu Kelang, Saari Sungib menyertai Amanah.

 

Bekas Naib Presiden PAS itu turut mengulangi keyakinannya bahawa Amanah akan berjaya membentuk kerajaan negeri di Kelantan sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru.

 

“PAS kata dia kuat, Amanah parti kecil. Izinkan Amanah tanding tiga penjuru di Kelantan, kita lihat siapa yang akan bentuk kerajaan pada pilihan raya akan datang. Dengan bahasa ini saja PAS boleh faham,” kata Husam.

 

Mengulas lebih lanjut prinsip satu lawan satu di antara pembangkang, Husam mencadangkan agar diwujudkan satu piagam yang jelas bagi menjamin ‘rentak’ PAS dalam gabungan pembangkang itu.

 

“Kalau Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) pergi kepada PAS, PKR pergi kepada PAS, ia akan jadi liabiliti kepada PKR di kerusi bandar dan campuran. Liabilitinya bukan kerana PAS bawa hudud tetapi kerana khianati amanah pada PRU13 untuk menolak Umno-BN.

 

“Kalau mahu ambil PAS dalam rangka satu lawan satu, perlu ada piagam yang jelas. Iaitu kerajaan Kelantan perlu diperbetulkan, pimpinan yang terlibat mesti dibersihkan, barulah ia boleh masuk dalam gagasan satu lawan satu kita. Jika tidak, rakyat akan mnolak kita kerana membawa PAS,” kata beliau lagi.

 

Selain Husam, program sembang santai malam tadi turut membariskan Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Saifuddin Nasution, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dan pemimpin BERSIH 2.0. Thomas Fann. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.