Anak Datuk Ditahan Tanam Pokok Ganja Dalam Rumah

KUALA LUMPUR – Seorang pelakon drama dan seorang anak ‘Datuk’ adalah antara 3 lelaki yang ditahan di sebuah banglo di Jalan Ampang Ulu di sini kerana disyaki terlibat dalam penanaman pokok ganja, mengguna dan menjual dadah itu.

 

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata turut ditahan seorang lelaki warga Filipina yang bekerja di sebuah syarikat pengurusan teknologi maklumat di sini.

 

Katanya, ketiga-tiga suspek berusia antara 29 dan 36 tahun, termasuk anak kepada pemilik banglo berkenaan yang turut memiliki sekolah persendirian antarabangsa, ditahan dalam serbuan jam 12.40 tengah hari Sabtu lalu.

 

“Pemeriksaan ke atas rumah itu turut menjumpai 3 pasu disyaki pokok ganja berketinggian 19 hingga 100cm, dedaun kering disyaki dadah jenis ganja dianggarkan berat lebih 400 gram dan satu tiub straw mengandungi benih disyaki benih ganja,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

 

Selain itu, turut dirampas bahan dan peralatan menanam pokok ganja, 4 pistol angin pelbagai jenis, 2 senapang angin pelbagai jenis, 7 pedang samurai dan 19 pisau pelbagai jenis, sehelai vest polis dan satu lampu beacon.

 

“Semua barang rampasan dianggarkan bernilai RM25,000,” katanya.

 

Amar Singh berkata benih itu dipercayai diseludup dari United Kingdom dan aktiviti menanam ganja berkenaan dikatakan aktif sejak 4 bulan lepas.

 

Katanya, dadah berkenaan dipercayai digunakan untuk kegunaan sendiri selain dijual.

 

Beliau berkata pemeriksaan ke atas ketiga-tiga suspek juga didapati positif dadah, dan semua ditahan reman 6 hari bermula semalam hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan.

 

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 36(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1960 dan Seksyen 7(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.