Kami Berpuas Hati, Tiada Sebarang Kekacauan Dan Bantahan Dari Mana-Mana Pihak – SPR

Tumpat – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menerima sebarang bantahan oleh mana-mana parti yang bertanding sepanjang perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Khamis.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Pengkalan Kubor, Mohd Sobri Ramli berkata PRK itu berlangsung dalam suasana terkawal dan tiada sebarang kekacauan yang mengganggu kelancaran proses pengundian.

“Kami berpuas hati dengan perjalanan PRK ini dan terima kasih kepada semua pengundi yang telah memastikan kelancaran ketika hari pengundian,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan rasmi PRK Pengkalan Kubor di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Biji Wangsa di Tumpat.

Mohd Sobri berkata perjalanan PRK yang berlangsung kali ini adalah telus dan tiada ruang untuk ketiga-tiga parti bertanding melakukan sebarang bantahan.

Barisan Nasional (BN) mempertahan kerusi DUN Pengkalan Kubor apabila calonnya, Mat Razi Mat Ail, memperoleh majoriti 2,635 undi.

Majoriti undi meningkat sebanyak 899 berbanding 1,736 undi yang diperoleh penyandangnya, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, pada pilihan raya umum ke-13.

Mat Razi, 48, meraih 9,961 undi, mengalahkan calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim, 56, yang mendapat 7,326 undi. Bagaimanapun calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary, 47, hilang wang pertaruhan selepas memperoleh 38 undi sahaja.

Sebanyak 73 peratus atau 17,555 pengundi daripada 24,039 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Sementara itu, Pengarah Jentera Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mustapa Mohamed menyifatkan kemenangan Mat Razi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor sebagai hadiah hari lahir yang terbaik dalam hidup beliau.

Mustapa, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-64, berkata kemenangan tidak dijangka itu adalah hasil gerak kerja kesemua jentera parti yang bertungkus lumus dalam mengekal kemenangan BN di DUN berkenaan.

“Jentera Pemuda, Wanita dan Puteri banyak membantu dalam PRK ini dan keputusan pada malam ini adalah luar biasa. Saya terharu dengan sokongan dan sudah pastinya saya sangat gembira dengan kemenangan calon BN yang kita pertaruhkan ini,” katanya.

Hadir sama pada pengumuman rasmi keputusan itu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dan Setiausaha BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan.

Mustapa berkata kemenangan BN di Pengkalan Kubor akan menjadi perintis ‘Gelombang Merah’ untuk terus meraih kejayaan di kawasan lain yang dikuasai PAS di Kelantan.

“Kemenangan ini akan menjadi momentum buat BN dan sudah pasti kita akan terus bekerja keras agar gelombang ini akan menjadi lebih besar,” katanya.

Shahidan, seorang anggota Majlis Tertinggi UMNO pula berkata kemenangan itu menunjukkan rakyat Kelantan sudah letih dan jemu dengan politik maki hamun.

“Perkara ini (maki hamun) mudah berlaku di Kelantan tetapi di sini (Pengkalan Kubor) rakyatnya menolak dalam bentuk undi yang kita dapat. Ini menunjukkan pengundi di sini sudah bersedia menerima perubahan untuk mendapatkan pembangunan,” katanya.

Beliau berharap kemenangan BN ini bakal menjadi permulaan buat Kelantan untuk menerima perubahan lebih besar di bawah BN kelak.

Anggota Dewan Negara Senator Datuk Boon Som Inong menyifatkan kemenangan BN itu sebagai manifestasi keyakinan rakyat terutama masyarakat Siam yang memberi ‘lampu hijau’ terhadap kewibawaan BN untuk terus mentadbir kawasan itu.

Penasihat Penyelaras Pembangunan Masyarakat Siam itu berkata pengundi di Pengkalan Kubor membuat keputusan yang bijak sekali gus memastikan kesinambungan pemerintahan BN di kawasan berkenaan.

“Saya amat gembira dengan keputusan cemerlang BN mempertahan kemenangan biarpun kiri kanannya adalah kubu pembangkang dengan penambahan majoriti yang agak tinggi.

“Pada pengiraan saya secara kasar, 88 peratus masyarakat siam telah mengundi BN dan itu menjadikan faktor kemenangan yang lebih besar berbanding sebelumnya (PRU-13).

Boon Som berkata rata-rata masyarakat Siam menyenangi keperibadian Mat Razi yang merendah diri dan mudah mesra selain banyak berjasa kepada anak-anak masyarakat Siam selaku guru sebelum ini.

“Itulah yang menjadikan masyarakat Siam penentu kemenangan dalam PRK ini. Kalau kita lihat peti undi Jubakar Darat, peratusan undi BN begitu tinggi sekali,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.