KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob percaya dengan keberanian Pergerakan Pemuda UMNO mampu membawa parti bangkit kembali.
Kata Ismail Sabri, pemuda perlu berani dan tidak takut untuk menyatakan pendirian atas kepentingan parti dan rakyat.
“Hari ini, Pemuda UMNO genap 74 tahun berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air.
“Politik saya bermula dengan Pemuda UMNO. Ia mengajar tentang idealisme dan membina jati diri untuk melangkah satu demi satu anak tangga sehingga ke puncak tertinggi, meneraju pentadbiran negara.
“Pemuda sifatnya berani. Tidak takut menyatakan pendirian atas kepentingan parti dan rakyat,” katanya menerusi hantaran Facebooknya sempena Ulang Tahun Pemuda UMNO ke-74, pada Sabtu.
Selain itu katanya lagi, pemuda juga mempunyai tanggungjawab yang amat berat untuk memastikan idealisme UMNO tidak tercemar dan sentiasa diminati oleh anak muda.
“Saya percaya dengan keberanian kepemimpinan Pemuda hari ini mampu untuk membawa parti bangkit kembali.
“Selamat Menyambut Ulang Tahun Pemuda UMNO ke-74. Teruskan perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air,” ujarnya.