Tiga Anggota Pasukan Khas ATM Pilih Berhenti Tentera

KUALA LUMPUR – Tiga anggota Pasukan Khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang meneruskan khidmat sebagai pengawal pengiring kepada bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, meskipun penugasan mereka ditamatkan sejak Mei lalu, memilih untuk berhenti daripada tentera.

Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun twitter peribadinya @HishammuddinH2O, Hishammuddin berkata, beliau sudah dimaklumkan mengenai keputusan anggota berkenaan untuk menamatkan perkhidmatan masing-masing.

“Saya telah dimaklumkan keputusan mereka untuk menamatkan perkhidmatan. Walau bagaimanapun, sekiranya tindakan mereka tidak betul, saya pasti Markas ATM akan menyiasat perkara ini sepenuhnya.

“Kami akur atas apa-apa keputusan yang berlandaskan peruntukan undang-undang,” katanya yang sebelum ini menyatakan sudah menawar peluang kerja kepada anggota berkenaan dengan syarat mereka berhenti serta-merta daripada ATM.

Kenyataan Hishammuddin itu menyusul selepas Bahagian Hal Ehwal Awam — J7 ATM, berkata tiga anggota yang masih meneruskan khidmat kepada bekas menteri pertahanan itu kini berdepan siasatan kerana penugasan mereka sudah ditamatkan sejak Mei lalu.

Dalam kenyataannya, bahagian itu berkata, tindakan sewajarnya akan diambil bagi memastikan semua anggota yang masih dalam perkhidmatan, tidak melaksanakan apa jua tugasan dengan pihak yang tidak mempunyai hak dan kaitan berdasarkan peraturan semasa.

“Berhubung laporan sebuah portal mendakwa tiga anggota pasukan khas masih berkhidmat dengan bekas menteri pertahanan, ATM ingin memaklumkan bahawa kesemua penugasan mereka mereka sebagai pengiring rapat itu sudah ditamatkan sejurus berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, ATM kini sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan (mereka masih meneruskan khidmat sebagai pengiring rapat).

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana anggota sekiranya mereka didapati melanggar perintah dan peraturan semasa ATM,” katanya.

Susulan pendedahan oleh sebuah portal berita dalam talian semalam, Mohamad mengarahkan siasatan segera dijalankan terhadap dakwaan dua anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan seorang komando masih menjadi pengiring Hishammuddin.

Hishammuddin dalam kenyataannya, mendakwa tiga anggota terbabit yang begitu rapat dengan keluarganya, hanya berkhidmat untuk sementara waktu.

“Saya sudah menawarkan kerja tetapi jika mereka terima, maka mereka harus berhenti dari ATM serta-merta,” katanya, dalam kenyataan ringkas. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.