Tamar Jalis, Penulis ‘Siri Bercakap Dengan Jin’ Meninggal Dunia Pagi Tadi

KUALA LUMPUR – Penulis buku genre seram terkenal Tamar Jalis atau nama sebenarnya Mohamed Radzi Mahmud meninggal dunia pada pukul 9.30 pagi tadi di Kota Damansara.

Solat jenazah Allahyarham akan dilakukan selepas waktu Zohor di Suaru al-Falah, Seksyen 6 dan akan dikebumikan di tanah perkuburan Kota Damansara.

Tamar Jalis terkenal sebagai penulis ‘Siri Bercakap Dengan Jin’ dan Allahyarham berjaya menyembunyikan identiti diri selama 30 tahun dengan hanya memakai nama samaran ‘Tamar Jalis’ daripada pengetahuan umum.

Dalam siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis menulis watak datuknya Long Mat Piah berusia 50-an dan beliau sebagai watak cucu berusia belasan tahun.

Sebanyak 284 siri Bercakap Dengan Jin telah disiarkan dalam majalah Variasari terbitan Variapop Group yang berterusan selama 23 tahun enam bulan mulai bulan April 1981 hingga Januari 2005.

Ia dianggap sebagai satu rekod dan pencapaian yang luar biasa tentang kisah yang ditulis secara bersiri dalam majalah di Malaysia.

Mohamed Radzi pernah berkhidmat sebagai penyunting akhbar Harian Watan (1977-1979) seterusnya sebagai editor majalah Penerbitan Adabi seperti Widya, Aktual dan Rintis (1980). – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.