Ekonomi dan Mata Wang Merosot, Parlimen Iran Mengundi Singkir Menteri

TEHRAN – Parlimen Iran mengundi untuk menyingkirkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Kewangan, Masoud Karbasian dari kementerian itu, hari ini, kata media awam ketika negara itu menyaksikan kejatuhan mendadak mata wang rial dan kemerosotan ekonomi.

Media awam melaporkan, sebanyak 137 anggota parlimen mengundi penyingkiran Karbasian sementara 121 undi pula memihak kepada beliau untuk kekal di kementerian sama.

Langkah itu adalah langkah terbaru dalam rombakan ke atas pentadbiran kanan ekonomi ketika Amerika Syarikat (AS) mengenakan semula sekatan ekonomi ke atas Iran berhubung program nuklear dan isu-isu lain.

Awal Ogos, ahli parlimen Iran mengundi untuk menyingkirkan Menteri Buruh dan hujung bulan lalu pula Presiden Iran, Hassan Rouhani menggantikan ketua bank pusat.

Bantahan yang dikaitkan dengan situasi kemelesetan ekonomi yang bermula pada penghujung Disember lalu merebak ke 80 bandar dan pekan sehingga mengakibatkan 25 maut.

Protes sekali sekala diketuai pemandu trak, petani dan peniaga di bazar Tehran berterusan sejak itu dan sesekali membawa kepada pergaduhan ganas dengan anggota keselamatan. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.