Bumi Bagaikan Sedang Terbakar, Kata Pakar

IMEJ satelit terbaharu bumi yang didedahkan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Amerika Syarikat (NASA) memberi gambaran keadaan kebakaran seluruh dunia ketika ini.

Jika diperhatikan imej tersebut, bumi sentiasa diselubungi kebakaran merentasi semua benua. Dan ia sebenarnya merupakan situasi biasa yang dilihat setiap masa.

Memetik laporan Gizmodo, NASA memetakan semua kawasan yang sedang terbakar dengan titik merah, berdasarkan kepada ukuran tahap kepanasan yang mengesan kebakaran. Paling membimbangkan apabila kebakaran dibuat dengan sengaja, didorong oleh faktor manusia.

Imej tersebut secara tidak langsung menyerlahkan amalan pertanian seperti pembakaran tanah pertanian untuk penanaman semula berlaku di Indonesia, Madagascar dan Sub-Sahara.

“Amalan membakar tanah pertanian untuk meningkat nutrien tanah ini menghasilkan asap yang merisikokan kesihatan manusia dan perubahan iklim.

“Kebanyakan kebakaran di Brazil dan Indonesia adalah didorong kaedah pertanian sebegini,” kata Christine Wiedinmyer, pakar dari Cooperative Institute for Research in Enviromental Sciences.

Keadaan ini mencetuskan jerebu yang sering dihadapi di rantau beberapa negara ASEAN seperti Malaysia setiap tahun.

99 peratus kebakaran di Sumatera dan Kalimantan berpunca daripada amalan pertanian berkenaan yang kerap dilakukan ketika musim kemarau antara April dan Oktober. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.