APMM Rampas Wang Tunai RM4 Juta Di Perairan Kemaman

Seorang nakhoda kapal bersama enam kru diberkas bersama wang tunai bernilai hampir RM4 juta susulan penahanan sebuah kapal di perairan Kemaman, kelmarin.

Rampasan wang tunai itu merupakan yang terbesar dilakukan Maritim Malaysia setakat ini.

Menerusi satu kenyataan semalam, Pegawai Memerintah KM Pekan, Kapten Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata kapal yang tidak memiliki nombor pendaftaran itu ditahan pada kedudukan lebih kurang 126 batu nautika dari Kuala Kemaman.

Katanya dalam rondaan sekitar pukul 4.15 petang itu, kapal berkenaant telah cuba melarikan diri dengan meningkatkan kelajuan namun berjaya dipintas.

“Hasil pemeriksaan terhadap kapal tersebut mendapati tujuh kru tidak mempunyai sebarang dokumen, turut ditemui ialah sejumlah wang tunai dalam pelbagai mata wang dengan nilai yang banyak. Wang tunai tersebut disyaki hasil daripada aktiviti haram, ” katanya.
Kesemua yang ditahan berusia antara 22 hingga 62 tahun, dipercayai warga Thailand dan mereka akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

Penahanan kru dan kapal itu dilakukan menerusi Operasi Perkasa Timur dan Operasi Marikh melibatkan pemantauan pelbagai aktiviti penyeludupan minyak di laut.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.