Warga Emas Bunuh Diri Di Landasan Kereta Api

Johor Bahru – Seorang warga emas terbunuh, selepas dia digilis sebuah kereta api di Kilometer 751 di Kempas, semalam.

 

Mayat lelaki berusia 65 tahun itu ditemui pemandu kereta api itu pada jam 8 malam, beberapa minit selepas rempuhan berlaku.

 

Terdahulu, pemandu kereta api itu yang dalam perjalanan ke Johor Bahru, bertindak membunyikan wisel amaran, selepas ternampak lelaki berkenaan berbaring di atas landasan.

 

Pemandu berusia 43 tahun itu kemudiannya memaklumkan pegawai Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan polis bantuan, selepas merempuh mangsa.

 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata, kepala, tangan dan badan mangsa terputus, selepas digilis kereta api.

 

“Polis percaya ini adalah perbuatan membunuh diri dan mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut,” katanya pada hari ini.

 

Sulaiman berkata, polis berjaya menghubungi waris bagi memaklumkan kejadian itu, selepas menemui telefon bimbit mangsa di tempat kejadian.

 

“Daripada perbualan dengan saudaranya, kami dimaklumkan mangsa masih bujang dan dipercayai mengalami penyakit berkaitan perut yang tidak boleh diubati, sejak dahulu lagi,” katanya.

 

Mayat warga emas itu kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.