‘Walau Dipukul Dengan Kayu, Dihentak Dengan Batu’

KUALA LUMPUR – Peserta Himpunan Menolak Bersih tidak gentar untuk berdepan peserta Himpunan Bersih 4.0, Sabtu ini.

 

Penganjur himpunan Menolak Bersih 4.0 (Jahat), Datuk Jamal Yunus berkata, peserta himpunan anjurannya telah bersiap sedia untuk berhadapan dengan segala kemungkinan termasuk kekerasan dalam himpunan itu nanti.

 

Simbolik kepada kesiapsiagaan itu turut ditonjolkan menerusi persembahan aksi berani oleh peserta pada himpunan yang diadakan di pekarangan Kompleks Beli-belah Sogo, petang semalam.

 

“Mereka ini semua sudah bersiap sedia. ‎Kami sudah memberikan segala latihan dan persiapan bagi mereka (peserta) untuk menghadapi peserta (himpunan) Bersih pada hujung bulan ini.

 

“Walaupun dipukul dengan kayu dan dihentak dengan batu, mereka tidak apa-apa. Kami semua sudah bersedia. Kalau kami diserang, InsyaALLAH kami akan pertahankan diri,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

 

Seramai 30,000 peserta disasar untuk menyertai himpunan Menolak Bersih 4.0 yang bakal dianjurkan serentak dengan penganjuran himpunan Bersih 4.0 pada 29 Ogos ini.

 

Jamal menambah, pihak berkuasa sekalipun tidak akan dapat menghalang himpunan Menolak Bersih yang dianjurkannya selagi himpunan Bersih 4.0 dianjur sama pada hari tersebut.

 

Sementara itu, himpunan pada hari ini memperlihatkan sebahagian daripada peserta mempersembahkan aksi berani masing-masing di khalayak umum.

 

Antara aksi yang dilakukan termasuklah memukul bahagian belakang tubuh dengan kayu dan menghentak blok batu ke kepala peserta. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.