UMNO Sandakan Ikrar Sokongan Kepada Najib

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Sandakan berikrar memberi sokongan padu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terus menerajui parti dalam berdepan dengan pelbagai cabaran politik ketika ini.

 

Ketuanya, Tan Sri Ampong Puyon berkata, pihaknya akan berdiri teguh di belakang kepemimpinan yang sah untuk bersama-sama berkhidmat kepada rakyat dan menangkis dakyah disebarkan pembangkang yang bertujuan mahu melemahkan UMNO.

 

Sehubungan itu, katanya, di peringkat akar umbi, ahli serta pemimpin Pergerakan Pemuda dan Puteri bahagian itu telah digerakkan untuk bersemuka dengan rakyat dan menjelaskan mengenai isu-isu semasa yang sengaja disebar bagi meragut kepercayaan masyarakat kepada kerajaan.

 

“Kami percaya hanya dengan menyokong barisan kepemimpinan yang ada barulah parti akan kekal kuat dan mampu mendepani semua cabaran serta tuduhan daripada pembangkang.

 

“Saya juga menyeru Pemuda dan Puteri di peringkat bahagian untuk bekerja keras memberi penerangan kepada orang muda secara bersemuka agar mereka tidak mudah terpedaya dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas terutamanya yang disebarkan di Internet,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.