Syahadah Stacy : Akim Berang Wanita Tudung Pink

Penyanyi Akim Ahmad kesal klip video dan imej kekasihnya Stacy melafaz dua kalimah syahadah dirakam secara sembunyi dan menjadi viral tanpa kebenaran.

 

Dengan rasa kecewa yang berbuku, Akim meluahkan perasaan itu menerusi akaun Twitter miliknya terhadap individu yang dipertanggungjawabkan untuk merahsiakan berita pengislaman Stacy baru-baru ini.

 

 

“Kalau rasa hormati orang, berhenti sebarkan. Jaga kehormatan.

 

“Anda merakam tanpa kebenaran, itu sangat pasti,” katanya.

 

Klip video itu memaparkan susuk tubuh Stacy sambil berselendang hitam mengucap dua kalimah syahadah di depan seorang wanita di dalam sebuah bilik.

 

Stacy atau nama sebenarnya Stracie Angie Anam, 25, memeluk Islam di sebuah pejabat agama di Johor Bahru ditemani bapanya Anam Bayar, 53, dan ibunya Agnes Kaloos, 57. Turut hadir pada hari itu adalah ibu bapa Akim.

 

Juara Akademi Fantasia musim ke-6 itu memilih nama Islamnya sebagai Ummu Syaikhah Stacy Anam Abdullah.

 

Ekoran klip video berkenaan tersebar meluas di media sosial ia menimbulkan pertikaian mengenai status agama penyanyi Pelangi Senja itu.

 

“Pihak tidak bertanggungjawab sebarkan lagi.

 

“Sebelum apa-apa berlaku, saya rasa lebih baik (orang) yang merakam tampil.

 

“Saya tahu anda bertudung pink,” ujar Akim.

 

Laporan Berita Harian memetik Akim sebagai berkata, perbuatan individu terbabit tidak beretika selain membelakangi hak peribadi kekasihnya itu.

 

Bagi Akim, perkara membabitkan isu agama amat sensitif baik buat keluarga mahupun masyarakat.

 

“Tindakan tidak bertanggungjawab itu mengundang banyak spekulasi, sedangkan Stacy hanya menunggu masa sesuai untuk memaklumkan perkara sebenar.

 

“Isu agama adalah sesuatu yang sensitif selain banyak hati perlu dijaga terutama keluarga Stacy kerana sebaik gambar itu disebarkan, ia mengundang spekulasi di media sosial.

 

“Perkara sebegini cuba dielakkan dan berkemungkinan besar penerimaan orang ramai terhadap pengislaman Stacy berbeza jika beliau sendiri yang mengumumkannya secara tebuka,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.