Setiausaha Agong Parti KITA Buat Laporan Polis Cubaan Ambil Alih Parti

PETALING JAYA – Setiausaha Agong Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) Azmi Othman membuat laporan polis mendakwa ada pihak tertentu cuba mengambil alih kepimpinan parti itu secara haram.

 

Sebelum ini Gerakan Harapan Baru (GHB) dilapor akan menggunakan Kita untuk menubuhkan parti politik baru dan mengambil alih tempat PAS dalam Pakatan Rakyat 2.0.

 

Pemimpin GBH sebelum ini menafikan membayar RM140,000 untuk “memiliki” Kita bagi tujuan itu.

 

Azmi mendakwa ada orang luar yang kini mendakwa dirinya sebagai presiden baru Kita namun enggan menamakan beliau, lapor The Star.

 

“Saya mengesyaki ada sesuatu tidak kena apabila muncul desas-desus bahawa GHB berhasrat mengambil alih Kita,” kata beliau.

 

“Namun tidak ada sesiapa pun yang pernah menghubungi saya mahupun presiden parti Masrum Dayat berhubung perkara itu,” kata beliau.

 

Azmi mendakwa ada individu mengemukakan minit mesyuarat parti yang dipalsukan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

 

Tindakan itu bertujuan untuk menyakinkan ROS bahwa beliau adalah presiden Kita yang baru, kata Azmi.

 

Beliau mendedahkan Kita di bawah pimpinan Masrum sebelum ini beroperasi dari pejabat Datuk Zaid Ibrahim yang pernah memimpin parti itu setelah keluar daripada PKR.

 

“Bagaimanapun baru-baru ini, Masrum tidak lagi dibenarkan masuk pejabat itu kerana beliau tidak lagi bekerja untuk Zaid,” kata Azmi.

 

“Kami juga tidak dibenarkan mengambil dokumen-dokumen parti daripada pejabat Zaid,” katanya.

 

Justeru, Masrum kini menggunakan rumahnya sebagai pejabat sementara Kita.

 

Azmi menegaskan bahawa ROS mengesahkan beliau dan jawatankuasa pimpinan Masrum masih pemimpin sah Kita.

 

Justeru, beliau membuat laporan polis untuk memastikan tidak ada pihak yang cuba mengambil alih parti itu secara haram.

 

Setakat ini ROS dilapor mengesahkan bahawa GHB belum mengemukakan permohonan bagi menubuhkan parti politik baru.

 

Bagaimanapun setiausaha GHB Dr Dzulkefly Ahmad berkata gerakan serpihan PAS itu akan mengumumkan penubuhan parti berkenaan Isnin depan. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.