Rusia Tuduh Belanda Sorok Maklumat Siasatan MH17

MOSCOW – Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov menuduh Belanda menyembunyikan hasil siasatan membabitkan nahas pesawat Malaysia Airlines (MH17) yang ditembak jatuh di timur Ukraine daripada pengetahuan negara itu, lapor agensi berita TASS, semalam.

 

“Kami berusaha mendapatkan satu siasatan yang adil bagi tragedi itu, namun fakta utama masih disembunyikan daripada kami,’’ kata Lavrov pada forum belia Terra Scientia, jelas laporan yang dipetik dari portal Moscow Times.

 

Lavrov berkata, pasukan siasatan yang dikendalikan perkhidmatan keselamatan Belanda ada bertemu dengan Rusia baru-baru ini dan Moscow sempat bertanyakan beberapa soalan kepada mereka.

 

“Sebagai contoh, mengapa pengumuman tentang wujudnya elemen peluru berpandu BUK hanya dibuat pada bulan Ogos, sedangkan mereka menemukannya beberapa bulan sebelum itu dan kami meminta mereka menunjukkan serpihan berkenaan kepada kami, namun mereka enggan berbuat demikian,’’ kata Lavrov.

 

Pesawat MH17 terhempas di kawasan yang dikuasai oleh pemberontak pro-Rusia pada Julai tahun lepas yang menyaksikan semua 298 penumpang dan anak kapal terbunuh.

 

Penyiasat daripada negara-negara asal mangsa termasuk Belanda, Malaysia, Belgium, Australia, dan Ukraine menyiasat kejadian tersebut.

 

Pakar dan negara-negara Barat menuduh pemberontak pro-Rusia menembak jatuh pesawat penumpang tersebut dengan peluru berpandu BUK.

 

Bagaimanapun, Rusia pula menyatakan pesawat MH17 ditembak jatuh jet pejuang Ukraine. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.