Polis Nafi Objek Dibuang Adalah ‘Manusia’

Kota Bahru – Polis menafikan objek yang dibuang dari atas jambatan Kampung Pengkalan Sungai Baru, Bachok adalah ‘manusia’ sebaliknya ia adalah bungkusan pasir yang didakwa penduduk sebagai proses ‘membuang badi’ di kawasan terbabit.

 

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad berkata, pihaknya menerima pengakuan seorang penduduk yang membuang pasir di kawasan itu.

 

“Laporan seorang penduduk semalam, yang memberitahu nampak objek seperti manusia bukanlah seperti yang disangkakan dan operasi menyelamat dihentikan selepas menerima penjelasan itu tengahari tadi,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai K‎elantan, Mohd Nurizwan Basri berkata, pihaknya turut menerima bantuan unit pengesan K9 yang memulakan operasi menyelamat pada jam 9 pagi dan menamatkan operasi menyelamat pada jam 12 tengah hari selepas menerima laporan polis.

 

“Apa pun kita mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk polis, JPAM yang turut membantu dalam ops mencari dan menyelamat sejak semalam.

 

“Sebagai pasukan penyelamat, kita melakukan yang terbaik untuk masyarakat selepas menerima laporan berhubung kejadian berkenaan,” katanya.

 

Dalam kejadian semalam, seorang penduduk kampung cemas selepas mendakwa terlihat satu objek yang seakan-akan manusia dipercayai dibuang dari atas jambatan di Kampung Pengkalan Sungai Baru, Bachok di sini pagi semalam.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, lelaki terbabit yang enggan dikenali berkata, objek terbabit dilihat seperti terkapai-kapai di dalam guni.

 

Lelaki terbabit terus menghubungi bomba untuk mengesan objek berkenaan bagi tindakan lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.