PAS Sedia Umum Dana Politik – Nasrudin

Kuala Lumpur – PAS bersedia mengumumkan jumlah dana politik yang diterima parti itu selaras dengan cadangan penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP).

 

“Jadi itu trend parti ini dan tiada masalah untuk PAS isytihar tapi yang penting duit itu mestilah diperoleh secara sah, tidak menyalahi undang-undang, tidak dalam bentuk rasuah dan bukan dalam bentuk menyeleweng harta negara.

 

“Ia mestilah disalurkan kepada partilah dan dijadikan kewangan kepada parti,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan.

 

Penubuhan JKNMPP diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak awal bulan ini dalam usaha memastikan ketelusan mengenai punca dan pengurusan dana semua parti politik.

 

JKNMPP bertujuan menggubal garis panduan dan undang-undang sesuai berhubung isu itu untuk diguna pakai pada pilihan raya umum ke 14 yang akan diadakan menjelang tahun 2018.

 

Nasruddin menegaskan dana yang diterima parti politik mestilah melalui saluran yang betul selain perlu mempunyai akaun parti dan bukannya menggunakan akaun indivividu atau peribadi.

 

Beliau berkata pihaknya tidak berdepan dengan masalah untuk mendedahkan punca dana yang diterima kerana parti itu seringkali memaklumkan kepada umum.

 

“Sebenarnya dana politik Ialah satu perkara yang berlaku dalam politik negara kita. Cuma apa yang paling penting adalah dana itu mesti melalui satu saluran yang betul.

 

“Kalau disalurkan kepada parti politik maka tiap-tiap parti poliitik itu mempunyai akaun parti yang tersendiri dan saya rasa tidak bermasalah untuk pengisytiharan terutamanya PAS,” katanya.

 

Ujar Ahli Parlimen Temerloh itu, kepincangan atau penyelewengan dana politik boleh berlaku sekiranya hanya individu tertentu yang mengetahui tentang proses aliran kewangan tersebut.

 

“PAS ini memang cara dia isytihar berapa banyak duit masuk, memang setiap kali kita ceramah kemudian kita kutip derma selepas itu kita isytihar di hujung ceramah dan semua orang awam tahu berapa duit masuk kepada parti.

 

“Kepimpinan parti juga tahu berapa jumlah duit masuk pada malam itu, tak mungkin ada orang boleh ambil untuk masuk ke akaun peribadi melainkan dia akan pergi kepada akaun parti kerana itu sudah menjadi satu pengisytiharan umum,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.